Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah
Puasa sunat
Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini.
Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan
puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.
" kau , dah hari ker berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.
Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa
enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang
dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih
hebat?'.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan
seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang
merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya
di sembunyikan khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang
ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji
dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing
agar tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah
tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana
satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah
yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?.
Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi
yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa
juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan
fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan
diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku
kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi
sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal
jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30,
berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan
Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih
kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di
ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat
berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di
ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak
pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah
berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih
berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati
setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat
Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga
mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda
Nabi SAW
إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة
فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله
له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم
يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له
سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan
kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya
pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di
tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no
6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah
lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih
besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan
merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang
hanyalah sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu
(dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini
kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW
pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk
menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak
melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik
kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang
mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib)
dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul
pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat,
seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan
‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat
dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan
masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik
seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2.
Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan
Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan
wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat
lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah
bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan
kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan
kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu
a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh
di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan
Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana
Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan,
tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no
101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam'
(tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat
mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang
mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun
syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa
tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini
kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi
‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil
Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang
berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan
fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan
Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof
Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana
berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6
hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa
ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat
melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan,
mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa
Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak
bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting,
tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya
seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan
semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak
dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin,
An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini :
Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib
(qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan
saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai
kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara
ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari
mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in
America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan
beberapa yang lain.
Sekian.
- Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman -
No comments:
Post a Comment