Sempat layan Tv pagi td....sebagai anak bumi Kedah, aku turut bangga..
SEMBAH TAHNIAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di atas perlantikan sebagai Yang Dipertuan Agong ke-14 berkuatkuasa hari ini 13 Disember 2011. DAULAT TUANKU !
Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah ( Lahir 28 Nov 1927 ) merupakan Sultan Kedah yang Yang di-Pertuan Agong Malaysia yg ke-5. Baginda diputerakan di Alor Setar, Kedah dan menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5 dari 21 Sept 1970 hingga 20 Sept 1975 dan juga merupakan Sultan Kedah yg ke-27. DAULAT TUANKU!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KUALA LUMPUR 13 Dis. – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu”azam Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.Kali pertama ialah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.
Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam.
Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos, 1957.
Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November lepas. – Bernama
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
SEPANG, 13 Dis (Bernama) — Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini, bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.
Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.
Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Okt lepas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.
Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Di Kuala Lumpur, ketibaan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.
Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik “Hormat Diraja” oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah.
Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik ‘Hormat Diraja serta lagu Negara Ku.
Baginda berdua kemudian menerima menghadap menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan sebelum berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong
sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=633743 (13/12/2011)
"Patik Merafak Sembah Setinggi-tinggi Tahniah di atas perlantikan Tuanku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mua’dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-14 berkuatkuasa 13 Disember 2011."
No comments:
Post a Comment