photo 627201q5jaigt1eg.gif

Wednesday, June 29, 2011

ORANG YANG MUFLIS

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tahukah kamu siapa sebenarnya muflis?” Para sahabat menjawab, ‘Muflis di antara kami ialah orang yang tidak mempunyai wang ringgit dan harta benda.’

Sabda Rasulullah saw, “Sebenarnya muflis di kalangan umatku ialah orang yang tiba pada hari akhirat membawa solat, puasa dan zakat padahal ia mengutuk orang, menuduh orang melakukan zina, mengambil harta benda dengan tidak benar, membunuh orang dan memukul orang lalu DIBERI amal kebajikannya kepada orang itu dan orang ini.

Jika kebajikannya habis sebelum selesai dosa yang ditanggungnya nescaya diambil dosa mereka (orang yang dizalimi) lalu ditanggung ke atasnya kemudian dicampak ke neraka.” (Sahih Muslim [4678], Al-Tirmidzi [2342])

Pengajaran dan Penjelasan :

Menurut DBP, muflis bermaksud tidak berupaya membayar hutang. Ini mungkin saja kerana ia mengalami kerugian dan hutang itu melebihi atau lebih banyak dari hartanya.

Namun muflis menurut hadis ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw, muflis tersebut berlaku di akhirat dan bukan di dunia.

Harta yang berharga di akhirat adalah merupakan pahala amal ibadah atau apa sahaja kebaikan yang telah kita lakukan ketika di dunia. Walaubagaimanapun harta ini akan hilang akibat buruk akhlak, sumpah palsu, membunuh dan menzalimi orang lain. Setelah habis pahala dituntut, tetapi masih belum mencukupi maka dosa orang yang dizalimi itu akan ditanggungnya pula. Inilah sebenar-benar muflis.

Antara pengajaran penting dari hadis ini;

1. Mendidik manusia agar memelihara kemurnian hati dan fikirannya agar sentiasa bersih dan seterusnya mewujudkan akhlak yang mulia.

2. Amal ibadah bukan penentu masuk ke syurga. Ia membantu, tetapi dikuatkan dengan akhlak yang baik, amanah, jujur, berbuat baik sesama manusia dan seumpamanya.

3. Jangan sesekali memandang remeh terhadap dosa di atas (mengumpat, menceritakan keburukan dan kelemahan orang, menzalimi orang lain walaupun orang kafir dan sebagainya).

4. Bertaubat dengan sepenuh hati terhadap kesalahan sesama manusia dan meminta maaf kepada yang dizalimi. Berapa ramai antara kita membuat kesalahan sesama manusia tanpa sedar? Facebook terutamanya, kita mengutuk dan menghina orang lain tanpa rasa bersalah. Ketahuilah orang yang anda hina dan kutuk itu akan menuntut pahala anda di akhirat kelak.

Janganlah menyangka ia perkara yang kecil sedangkan dosa sesama manusia itu besar di sisi Allah sehingga si penzalim itu dapat menanggung dosa yang tidak dilakukannya hanya kerana kezalimannya samada dari segi harta benda mahupun maruah terhadap orang itu. Ia akan dipertanggungjawabkan seadil-adilnya di akhirat nanti.

5. Hebatnya hukum Islam. Walaupun si penzalim itu bebas di dunia ini, tetapi di akhirat nanti dia akan menyesal dengan penuh penyesalan dan sesalan pada hari itu tidak bermakna.

6. Berbuat zalim itu dapat menghapuskan amal soleh seseorang. Oleh itu berwaspadalah setiap hari, jagalah pemikiran, lidah dan tubuh badan lainnya dari kebahayaan ini.

Jika ditinjau dari aspek lain;

1. Teknik pengajaran yang baik, iaitu sesi soal jawab antara guru dan murid atau ibubapa dan anak. Ia membantu membuatkan otak berfikir.

2. Janganlah sombong walaupun kita tahu tentang sesuatu perkara. Kemungkinan pengetahuan kita tentang itu sebenarnya salah.

3. Apabila jumpa sesuatu perkataan yang kurang faham dalam hadis atau maknanya yang luas (pelbagai kemungkinan) maka kembali kepada maksud Rasulullah saw dan para sahabat.

Wallahu’alam

No comments:

Post a Comment