photo 627201q5jaigt1eg.gif

Sunday, January 22, 2012

Tips memisahkan anak dari kamar tidur ibu bapa

Keperluan memisahkan anak yang berumur lebih daripada dua tahun dari kamar tidur ibu bapa adalah penting. Ilmu keibu-bapaan dalam mengendalikan perkara seumpama ini perlulah dipelajari supaya ibu bapa tidak menghadapi kesulitan seterusnya pada masa hadapan.

Setiap ibu bapa mempunyai pendekatan tersendiri kerana setiap anak juga mempunyai cita rasa mereka sendiri yang berbeza. Oleh itu, pendekatan untuk mendisiplinkan mereka juga perlulah bersesuaian.
Berikut merupakan beberapa tips atau panduan yang boleh dipraktikkan supaya dapat membantu memudahkan lagi ibu bapa melatih serta mendisiplinkan anak-anak.

1. Beri penjelasan. Sebelum memisahkan anak dari kamar tidur, anda perlulah terlebih dahulu memberi penjelasan supaya anak tidak menghadapi satu kejutan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru.

2. Beri galakan dan dorongan secara positif. Walaupun usaha ini tidaklah begitu mudah dan tidak juga dapat diterima oleh anak kecil secepat mungkin, namun ibu bapa perlulah memberi keyakinan dengan menggunakan kata-kata positif dalam bentuk pujukan, belaian dan pujian supaya perasaan yang lebih selesa dapat diwujudkan.

3. Temani anak anda. Pada peringkat awal ibu bapa perlu menemani anak supaya perasaan takut atau keseorangan dapat diatasi. tindakan ini boleh dikurangkan dari hari ke hari sehingga anak anda tidak lagi menangis atau merengek minta ditemankan setiap malam. Peleraian sedikit demi sedikit adalah lebih baik dibandingkan dengan peleraian yang mendadak kerana dikhuatiri anak anda akan mentafsirkan bahawa anda tidak lagi menyayanginya. Malah anak yang berjaya diasingkan seawal mungkin akan lebih berani, yakin serta boleh berdikari.

4. Konsisten dengan peraturan. Kadangkala timbul masalah di mana anak anda menunjukkan tingkah laku negatif semata-mata untuk mendapatkan perhatian supaya ibu bapa mengaku kalah dengan pendiriannya. Di sini lah kesabaran akan teruji. Sekiranya anda menuruti kehendak anak, anda sebenarnya telah mengajar anak untuk terus berkeras hati atau memaksa anda menurut kehendaknya. Sebaliknya jika anda konsisten dengan peraturan yang telah anda wujudkan, anak anda akan lebih menghormati serta akur dengan kehendak ibu bapanya.

Demikianlah beberapa tips yang boleh anda praktikkan untuk mendisiplan anak anda supaya belajar cuba berdikari dari rumah sendiri melalui didikan ibu bapa.

(sumber: Zaman beribu liku: tip dan panduan memahami jiwa remaja
 By Amaludin Abdul Rahman, Noralina Omar)

No comments:

Post a Comment