photo 627201q5jaigt1eg.gif

Wednesday, September 7, 2011

Berfikir Secara Positif


Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikiran positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.

Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambil masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak. Lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.

Ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya.

Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:
1. Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
2. Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
3. Aku tidak mahu buang masa lagi.
4. Aku tidak mahu lawan cakap orang lagi, jika tidak perlu sangat.

Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak. Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap orang, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil. Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:

- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat 5 waktu.
- Aku akan tumpu pada pekerjaan dan lain-lain hal yang memberi manfaat.

Lihat, kata-kata seperti itu membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, 2 kali atau 10 kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda, maka satu hari nanti tanpa anda sedari, anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah. Fokus kepada apa yang anda mahukan.

No comments:

Post a Comment