photo 627201q5jaigt1eg.gif

Thursday, February 17, 2011

Cerita Pilihanku

JIRANKU KEKASIHKU - Lysa Ally
BAB 8 - Muka Surat 86 -103 di dalam novel Jiranku kekasihku.


Aku tengok dia rancak betul berbual dengan Farizal dan Hafiza. Budak berdua tu memang suka bercakap. Farhana pula lebih suka mendengar, agak slow sikit berbanding abang dan ...kakaknya yang kalau bercakap macam bertih jagung.

Sesekali aku tengok dia mengangguk mengiakan percakapan adik-adik aku. Aku melempar senyuman kepadanya ketika pandangan kami bertembung. Biarkan dia. Sekurang-kurangnya dia tak rasa sunyi bila ada di sini. Itulah, siapa suruh ikut aku balik? Aku ni pula tak reti nak layan dia. Bukan apa, aku sebenarnya seganlah. Isy…

Aku kemudian melangkah kaki ke anjung rumah. Malam-malam begini sedap kalau dapat hirup udara segar. Dingin saja bila angin menampar muka. Agak jarang aku dapat suasana ini di Melaka. Nak pula rumah dekat dengan Bandar Melaka. Lagi banyak bunyi bising. Debu-debu berterbangan tanpa mengira siang atau malam.

"Hai."

Aku pantas menoleh. Aku lihat dia berdiri di ambang pintu sambil melempar senyuman. Aku membalas senyumannya dan menguis rambutku yang berjuntaian di dahi.

"Kenapa tak join kat dalam tadi?" soalnya sambil berjalan mendekatiku. Dia berdiri di sebelahku, sejauh satu meter.

Jauh jugaklah ni kan. Lagipun lampu terang-benderang kat anjung ni ha. Pintu rumah terbuka luas.

"Saya malas nak ganggu. Lagipun adik-adik saya tu memang jakun orangnya,"

Balas aku sambil ketawa kecil. Dia juga ketawa.

"Ya ke? Bukan jealous?" Dia bertanya sambil memandang mukaku. Cuba menduga reaksiku agaknya.

Aku mencebik. Buat apalah aku nak jealous? Buang karan aje. Lagi aku suka adalah sebab ada orang layan dia. Taklah dia mati kutu kat sini. Tapi kan, aku tengok dia ni cepat sesuaikan diri dengan famili aku. Baguslah, sekurang-kurangnya dia tak rasa janggal dan tersisih.

"Isy, nak buat apa jealous? Lagi suka adalah, sebab saya tak payah layan tuan doktor ni," balas aku sambil memandang mukanya malah mata gatal aku ini boleh pula mengenyit kepada dia. Kurang sopan betul. Sebenarnya spontan aku kenyit mata kat dia. Pantas aku berpaling ke arah lain.

"Hah… tadi siang janji nak panggil apa?"

Kata-katanya membuatkan aku kembali berpaling kepada dia yang sedang tersenyum nakal. Dia menaikkan kening ala-ala Ziana Zain, penyanyi pujaan hati jiwa dan ragaku. Isy, dia ingat lagi ke? Aku ingat dia dah lupa. Rupanya masih berpanjangan yek…

"Err… isy, takkan saya nak panggil macam tu pulak? Lagipun kita kan baru kenal. Tak ada apa-apa ikatan. Takkan saya nak… err… nak panggil macam tu pulak? Gila ke?" Aku garu kepala yang tak gatal.

Yalah, betul apa aku cakap. Takkan aku nak panggil dia macam tu sedangkan aku dan dia tak ada apa-apa ikatan? Lainlah kalau dia memang tunang aku ke, apa ke. Tu pun, rasa macam janggal sangat bila tiba-tiba nak panggil abang. Aku mencuri pandang wajahnya yang sedang tersenyum sendirian sambil menggelengkan kepala. Apalah yang difikirkan agaknya. Seronok kenakan aku macam tu agaknya. Aku jotos juga kepala doktor ni karang.

"Okeylah kalau Miss Pharmacist tak bersedia. Tuan doktor takkan memaksa,"

balasnya cuba memerli.

Aku menarik nafas lega mendengar kata-katanya. Sekurang-kurangnya terlepas beban dari bahu aku ini. Nasib baiklah dia tak terus seksa dan paksa aku panggil dia dengan nama itu walaupun aku telah berjanji tanpa sengaja. Tapi yang aku tak suka tu, dia panggil aku Miss Pharmacist! Cet… perli aku ke apa?

"Tapi, awak janganlah panggil saya doktor lagi. Saya bukan doktor awak dan awak bukan pesakit saya. Panggil nama aje," ujar dia kemudian.

Aku mengangkat bahu dan mengangguk. "Okay. Deal!" ucapku sambil tersenyum.

Kami kemudian membisu sekejap. Masing-masing seperti melayan perasaan sendiri.

"Faiz?" Dia bersuara selepas beberapa minit membisu. Aku berpaling ke arahnya.

"Boleh saya tanya sikit?" soalnya kemudian. Aku mengangkat bahu dan mengangguk.

"Siapa lelaki yang awak bohong hari tu kat Carrefour Melaka? Yang awak kenalkan saya sebagai tunang awak?"

Aku kerutkan dahi. Siapa? Hakimi? Huh… elok-elok aku dah lupakan terus si Hakimi, dia boleh pulak bangkitkan lagi nama dia tu. Serta-merta mood aku berubah. Elok-elok dah cheer up tadi, terus down. Mulalah aku rasa tidak senang hati dan perasaan bila cakap pasal budak cempiang tu.

"Nak dengar ke?" soalku sambil memandang mukanya. Cuba memancing reaksinya.

"Kalau awak sudi nak bercerita dengan saya. Kalau tak, tak apa. Saya takkan paksa," balasnya sambil tersenyum kepadaku.

Aku menghembus nafas perlahan. Kepala aku tunduk ke lantai, memandang batu-batu marmar yang bercorak seperti papan. "Sebenarnya… dia dulu bekas teman lelaki saya masa kat universiti. Kami sama-sama belajar, tapi lain bidang. Dia ambik dentist."

Aku memulakan cerita. Sebenarnya aku malas nak bercerita pasal ini. Memandangkan dia beria-ia nak tahu, aku mulalah bercerita. Aku menghalakan mata ke tengah jalan. Memejam mata. Mengingati semula detik-detik pertemuan antara aku dan Hakimi. Satu pertemuan yang indah. Aku menguntum senyuman. Perlahan-lahan, kenangan lama berputar kembali di layar ingatan.

Aku berjalan beriringan dengan Suzana, teman sekuliahku, menuju ke kafe kolej. Lapar benar perut aku ni. Apa taknya, dari pagi membawa ke tengah hari aku tak menjamah apa-apa. Baru saja kaki nak menjejak ke lantai kafe, aku dirempuh oleh seorang mamat. Habis bersepah aku punya fail dan kerja kursus yang baru aku siapkan tu. Telefon bimbit ke lantai. Bercampur dengan fail-failnya.

Nasib baik handphone aku tak pecah. Kalau tak, kena gantilah kau, bisik aku dalam hati.

"Sorry, wak, sorry. Saya tak sengaja," ucap dia dengan perasaan bersalah. Dia membantu aku mengutip kesemua fail-fail aku.

"Eh, awak tak nampak ke kawan saya ni ha? Mata awak letak kat mana?" Suzana sudah bercekak pinggang memandangnya yang sama-sama bangun denganku sesudah mengutip segala macam barang kami yang bertabur.

"Sorry, saya betul-betul tak sengaja. Saya nak cepat tadi. Awak tak apa-apa?" Dia bertanya sambil memandangku. Pantas aku menggeleng.

"Apa sorry, sorry? Mana entah dia letak mata dia tu!" bebel Suzana lagi. Dia merenung tajam ke arah lelaki yang melanggar aku.

Kesian pula aku tengok dia terkulat-kulat kena marah dengan Suzana. Isy, Suzana ni. Aku menyampuk bila Suzana cuba menyambung kemarahannya tadi.

"Tak apa. Saya okey. Lain kali kalau nak cepat pun kena tengok-tengok dulu ya." Penuh berlapik dan berhemah aku menutur kata. Kononnyalah.

Sebenarnya aku malas nak marah-marah. Memandangkan dia pun macam budak baik dan nerd sikit, aku berlembutlah. Aku nampak dia mengangguk dan tersenyum. Manis juga senyuman dia tu.

"Terima kasih sebab tak marah saya. Saya betul-betul tak sengaja tadi, wak. Sorry sesangat."

Aku sekadar tersenyum. Mamat ni betul-betul blur. Tengok muka dah tau dia ni blur. Tapi handsome jugak. Ahak!

"It’s okay," balasku perlahan.

"Hmm… okeylah, saya dah lambat ni. Ada kelas. See you. Sorry ya," ucapnya sebelum berlalu. Langkah yang diayun begitu laju sampai mata aku jadi juling tengok dia berjalan. Macam ada kuasa bionik.

"Hoi!" Bahu aku terangkat dek tepukan Suzana. Pantas aku mengurut dada. Isy, Suzana ni. Terperanjat aku. Nasib baik tak ada lemah jantung.

"Kau ni, senang-senang aje nak maafkan mamat tu. Menyampah aku. Sorry, wak. Saya tak sengaja. Awak tak apa-apa?" Suzana mengejek cakap lelaki tadi, dengan mimik muka sekali.

Aku ketawa sambil menggeleng. Ada-ada ajelah budak ni. "Kau ni tak baiklah. Dahlah, jom kita makan. Lapar gila perut aku ni."

Kami beriringan masuk ke kafe. Perut aku dah berdondang sayang minta diisi.

Suzana mengetawakan aku apabila aku tunjukkan kad pelajar yang telah bertukar rupa dan nama fakulti. Aku telah tertukar kad pelajar dengan budak lelaki yang melanggar aku di kafe tadi. Adus…

"Tulah kau. Tak tengok lagi. Main ambik aje. Sekarang dah tertukar kad nama dengan budak nerd tu. Jadilah kau budak fakulti pergigian. Lepas tu kau tukar rupa kau jadi lelaki," kata Suzana sambil ketawa lagi. Dia berguling-guling di atas katil.

Aku menopang muka dengan kedua-dua belah tangan. Macam mana ni? Kat mana aku nak cari dia? Esok dahlah aku ada kelas. Isy, kalut betullah budak ni. Aku mengeluh. Kad pelajarnya aku belek lagi. Hakimi Nazwan. Itulah nama dia. Sedap juga nama dia. Orangnya pun boleh tahan walaupun nampak nerd sikit. Tapi kira okeylah. Aku tersenyum sendirian.

"Hah, senyum sorang-sorang tu dah angau kat mamat nerd tu ke?" Suzana menyenggol lenganku dengan sikunya. Isy…

"Mana ada. Jangan pandai-pandai eh," bidasku sambil bangun, menuju ke meja belajar, mengambil telefon bimbitku. Ingat nak dail nombor Syed, kawan satu kampung dengan aku. Mana tau dia kenal ke budak Hakimi ni. Lagipun dia ambik dentist.

Eh, kenapa lain pulak telefon aku ni? Kenapa gambar aku yang jadi cover screen tak ada? Muka budak Hakimi pulak? Aduh… Aku hempaskan keluhan kasar. Tahulah aku bahawa telefon bimbit aku telah bertukar juga. Perlahan-lahan aku rebahkan badan ke atas tilam. Blur…

"Hah… dah kenapa ni? Dah angau semula kat budak tu?" Suzana mengusik lagi sambil berjalan ke arah katilku. Aku menunjukkan telefon bimbit tadi kepadanya.

"Telefon aku pun bertukar dengan dia, Su…" Aku lemah tak berdaya bila telefon aku tak ada di sisi. Macam hilang separuh semangat aku. Aduh, mintak nyawa…

"Hahaha. Telefon kau pun bertukar dengan dia? Isy, macam ada jodoh aje?"

Tak habis-habis budak kecik ni nak mengusik aku. Aku tengah susah hati ni. Mana nak cari budak tu? Telefon aku, kad pelajar aku ada kat dia. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Pantas aku bangun dan duduk. Aku lihat nombor telefon aku tertera pada skrin. Mesti dia yang telefon. "Helo."

"Helo. Ni Faiza ya? Saya Hakimi yang langgar awak tadi."

Ya, betul. Dia yang call. Ada harapan nak dapat telefon aku balik.

"Ha. Ya saya tau. Err… telefon awak tertukar dengan telefon saya. Kad pelajar saya pun tertukar dengan awak. Macam mana nak tukar balik yek?"

"Saya tau. Saya pun tak boleh masuk kelas sekarang ni sebab tak ada kad pelajar. Hmm… macam ni, kita jumpa sekarang boleh tak kat… hmm… Awak kat mana?"

"Saya kat hostel ni," balasku. Suzana di sebelah cuba menelinga. Nak dengar juga.

"Okey. Saya jumpa awak kat hostel awak. Nanti awak turun ya."

"Okey." Talian dimatikan. Fuh… lega aku. Nasib baik dia call. Aku pun baru nak call nombor telefon aku tadi.

"Dia nak datang sini. Hantar handphone dan kad pelajar aku. Lega sikit hati aku ni, Su," kataku kepada Suzana yang tersenyum nakal.

"Hah… entah-entah dia sengaja tak rancang benda ni sebab nak kenal dengan kau?"

"Hisy, apalah kau ni. Jangan menuduh tau. Tak baiklah. Tak habis-habis nak serkap jarang. Dahlah. Aku nak turun ni. Nak tunggu dia kat bawah." Aku terus keluar dari bilik hostel meninggalkan Suzana yang tak habis-habis mengusik. Baik aku turun. Kalau tunggu dalam bilik, lama-lama sakit hati pulak dengar usikan si kecik tu.

Barang-barang aku dan dia sudah bertukar tangan. Aku mencium telefon kesayangan pemberian ayah aku. Kalaulah kau hilang…punahlah hidup aku wahai telefon. Telefon kesayangan ni.

"Minta maaf sebab susahkan awak. Semua ni salah saya." Dia tak habis-habis menyalahkan diri.

Memang pun! Memang salah kau! Nak saja aku cakap macam tu, tapi aku bukan jenis yang begitu tidak sopan dengan orang lain. "Tak apa. Not a big deal."

Ya ke? Habis tu tadi lemah tak berdaya kononnya sebab telefon kesayangan tak ada kat tangan tu apa? Citpodah! Aku mengutuk diri sendiri.

"Hmm… dah terlanjur ni macam ni, kenapa tak kalau kita berkawan? Boleh?" katanya sambil tersenyum. Dia duduk di kepala kereta Satria Neonya.

Aku mengetap bibir. Perlu ke? Nak berkawan pulak? Isy, nak ke… tak? Aku berkira-kira dalam hati. Eh, kalau tak nak nanti dia kata aku jual mahal pulak. Apa salahnya kalau dia nak berkawan? Kawan aje. Bukan nak ajak kahwin pun. Kan?

"Okay. No problem," putusku akhirnya. Aku mengangkat kening dan bahu serentak. Senyuman juga tak lupa aku hadiahkan kepadanya.

"Okey. Saya Hakimi Nazwan. Awak?"

"Saya Nur Faiza. Boleh panggil Faiza," ucap aku sambil menyimpul senyum. Kami kemudiannya bertukar-tukar nombor telefon.

Sejak hari itu, kami mula menjalinkan persahabatan. Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama. Ops, Suzana? Kadang aku ajak dia ikut sekali, teman aku ‘berdating’ dengan Hakimi. Kadang-kadang dia malas nak ikut sebab dia kata macam kacau daun pula.

Sebenarnya, aku amat menyenangi sikap Hakimi yang low profile dan lebih banyak berlembut dengan aku. Tutur katanya tidak pernah ditinggikan. Aku yang kerap kali meninggikan suara bila ada yang tak kena. Biasalah, orang perempuan. Ada masa-masanya untuk naik angin. Hehehe.

Beberapa bulan kemudian, aku dan Hakimi menjalinkan hubungan yang lebih serius. Declare hubungan kami sebagai pasangan kekasih. Walaupun kami sedang dilamun cinta, pelajaran tetap kami utamakan. Itu janji aku kepada Cikgu Kamaludin, ayahku sendiri.

Aku menguntum senyum lagi. Ingatan pada perkenalan dan percintaan aku dan Hakimi semuanya indah. Pada masa itu, aku merasa sangat bahagia di sampingnya.

"Habis tu, kenapa awak putus dengan dia?" Dr. Sharizal bertanya, sekali gus mematikan lamunanku sebentar tadi.

Senyum bahagia indah memekar di bibirku mati serta-merta. Dia memandang wajahku. Menantikan jawapan. Aku menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Perpisahan. Perpisahan yang memeritkan bagiku. Perpisahan yang memusnahkan segala harapan dan angan-angan aku untuk hidup bahagia. Juga perpisahan yang hampir-hampir meragut nyawaku. Mengingati detik itu, hati aku jadi mudah tersentuh. Air mata mudah saja tumpah ke pipi.

"Awak menangis? Maaflah kalau awak tersinggung dengan pertanyaan saya. Kalau tak bersedia nak cerita… it’s okay. It’s fine with me. I’m sorry, Faiza."

Aku tersenyum sedikit mendengar kata-katanya. Pantas tanganku menyeka air mata di kelopak mata. Aku menggeleng berkali-kali, menidakkan kata-katanya. Bukan masalah aku tersinggung. Kalau boleh aku malas hendak kenang kenangan lama yang begitu pahit dalam lipatan sejarah kehidupanku.

"Masa tu, lagi seminggu saya nak exam final year. Sempat lagi kami berjumpa waktu kritikal macam tu. Tapi…"

Kaki aku terhenti di balik dinding kafe. Aku menyorok di situ apabila terdengar suara gegak-gempita Hakimi dan rakan-rakannya yang majoritinya pelajar Fakulti Pergigian. Aku cuba menelinga apa yang dikatakan mereka.

"Akhirnya, dapat juga kau pikat hati dan perasaan budak perempuan tu kan. Aku tabik springlah kat kau, Kimi. Kira kau menanglah." Seorang kawan Hakimi bersuara sambil menepuk-nepuk belakang Hakimi. Yang lain-lain ikut ketawa dan bersorak.

"Senang aje nak pikat minah tu. Dia tu jinak-jinak merpatilah. Aku umpan dia dengan kasih sayang palsu aku, buai dia dengan kata-kata romantik, buat sampai dia betul-betul jatuh cinta gila-gila dengan aku," balas Hakimi dengan nada yang angkuh. Dia berpaling menghadap kawan-kawannya.

"Hah… sekarang aku dah menang. Mana wang pertaruhannya? Penat-penat aku pikat minah senget tu sampai aku pun ikut senget sekali. Cepat, cepat!" bentak Hakimi sambil menadah tangan.

Hampir pitam aku mendengar kata-katanya. Aku dijadikan bahan pertaruhan mereka? Hakimi mempermainkan aku? Selama ini dia hanya berlakon semata-mata demi untuk menang pertaruhan dia dengan kawan-kawannya? Selama ini dia berpura-pura menyayangi dan mencintai aku?

Aku bersandar pada dinding. Perlahan-lahan badanku melurut jatuh sehingga ke lantai. Aku terduduk di lantai tepi dinding kafe itu. Menekup mulut yang terlopong. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku dengar sebentar tadi. Air mata sudah mula mengalir laju menuruni pipi. Aku berpaling melihat ke arah mereka lagi. Hakimi begitu gembira mengira wang pertaruhannya. Aku berpaling pula pada cincin pemberian Hakimi. Cincin sebagai tanda aku miliknya selamanya. Tapi kini…?

Aku bangkit, berdiri. Berjalan ke arah Hakimi dan rakan-rakannya. "Hakimi!"

jeritku.

Suara-suara yang galak ketawa itu berhenti serta-merta. Masing-masing memandang aku. Masing-masing melopong. Hakimi juga seakan terperanjat dengan kehadiranku di situ.

Aku memandang Hakimi, merenungnya tajam, mengatur langkah ke arah Hakimi. Kini aku betul-betul di depannya. Tangan aku ringan saja menampar pipinya. Kuat sehingga kepalanya terpusing ke kiri. Terpalit kesan darah di tanganku ketika menamparnya sehingga pecah bibir. Matanya terbuntang luas memandangku. Rakan-rakannya juga diam membisu.

"Dah puas you gelakkan I? Dah puas you gelakkan minah senget kat depan you ni? Dah puas you permainkan I, hah? Dah puas?" Bertalu-talu aku bertanya kepada dia yang nyata masih terkejut dengan kedatangan aku yang tiba-tiba.

"Faiz… I… I…" Tergagap-gagap dia hendak membalas kata-kataku. Serba salah. Dia meraba pipinya yang aku tampar.

"Cukup, Hakimi. You tak payah nak jelaskan. I dah dengar segala-galanya. I tak sangka, Hakimi, you cuma jadikan I barang pertaruhan you dengan kawan-kawan you. I sangka you ikhlas dengan I. Sangkaan I tersilap rupanya. You cuma nak permainkan I! I betul-betul tak sangka you sanggup buat I macam ni. How dare you!"

Air mata sudah mula merembes laju menuruni pipi. Aku tidak lagi mempedulikan pelajar-pelajar di situ yang menjadi penonton untuk drama swasta aku. Aku dah tak peduli lagi. Masa itu, kepala aku dah tak kisahkan itu semua. Aku menanggalkan cincin pemberiannya dari jari manisku lalu melempar ke mukanya.

"Nah! Ambil semula cincin you ni. I tak nak! Mulai hari ini, I tak mau lagi jumpa you, Hakimi Nazwan. I tak kenal siapa Hakimi Nazwan." Dengan kata-kata itu, aku berpaling, hendak beredar dari situ namun tanganku disentap Hakimi. Langkah kaki aku turut berhenti.

"Faiz, biar I explain."

Aku menarik kasar tanganku dan meneruskan perjalanan. Aku tidak menghiraukan panggilannya. Aku berlari sepantas mungkin. Berlari ke mana saja kaki aku hendak berlari. Hakimi! Kau sangat kejam! Kenapa aku ni bodoh sangat percayakan kau!

"I’m sorry, Faiz," ucap Dr. Sharizal.

Aku hanya tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Nak buat apalah dari tadi asyik cakap I’m sorry aje. Bukan dia buat salah pun. Mungkin dia rasa bersalah sebab bertanyakan kisah peribadi yang menjadi kenangan pahit dalam hidup aku.

"It’s okay. Awak tau tak apa jadi pada saya lepas tu?" Aku bertanya sambil memandangnya. Dia mengangkat bahu dan menggeleng. Manalah dia tahu! Aku ni pun sengal jugak tanya kat dia. Isy…

"Saya rasa down sangat lepas tu. Dengan exam yang dah dekat. Saya langsung tak fokus. Menangis, menangis dan menangis. Saya ni bukan kuat sangat. Saya ni lemah orangnya." Aku berhenti sekejap. Menunduk ke bawah melihat batu marmar di lantai. Mengetap bibir. Dada aku jadi sebak tiba-tiba.

"Setiap malam saya menangis. Kelas tutorial pun saya tak pergi sampai lecturer bagi amaran, tak benarkan saya ambil exam tahun itu. Dan yang paling drastik sekali, saya… saya cuba untuk bunuh diri."

Aku mendengar dia beristigfar berulang kali. Terkejut mendengar tindakan yang telah aku buat selepas putus dengan Hakimi. "Ya… saya cuba bunuh diri. Saya telan setengah botol ubat tidur."

Berat sekali aku menuturkan kata-kata itu. Sekali lagi aku dengar dia beristighfar. Dia memandangku dengan pandangan tidak percaya. Kemudian, aku tunjukkan pergelangan tangan kiri yang aku kelar dua tahun dulu kepadanya. Dia membelek-belek dan menggeleng. Terlopong mulutnya.

"Kalau lewat lima minit saya tak dihantar ke hospital, mungkin saya tak ada lagi di dunia ni, wak. Saya tak kenal Ellin, tak jumpa famili lagi dan tak kenal awak. Saya koma dua hari, akibat perbuatan saya dan saya kehilangan terlalu banyak darah juga kesan daripada ubat tidur yang saya telan setengah botol tu. " Aku menambah.

Sekali lagi mata aku terpejam. Mengingati detik-detik berdepan dengan maut akibat perbuatan gila aku itu. Bodoh betul aku masa itu.

"Tapi, alhamdulillah. Berkat doa rakan-rakan, keluarga, pensyarah-pensyarah, saya sedar semula. Masa tu saya rasa bersyukur sangat-sangat kerana Allah memberi saya peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan saya. Lepas tu saya bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan saya yang lalu. Saya tutup buku lama dan buka buku baru. Kalau boleh, saya tak mau ingat lagi perkara yang lepas-lepas. Lepas saja saya dibenarkan keluar wad, terus saya buat ulang kaji tanpa rehat dan henti sebabnya esoknya dah nak exam." Aku ketawa kecil.

Tak dapat aku bayangkan bagaimana kalutnya aku follow up semua kelas tutorial dan nota yang dipinjamkan Suzana. Kalutnya menghafal segala macam formula, fakta dan teori berkenaan pengajian yang aku ambil. Sampai Suzana sendiri pun ikut sama menghafal gila-gila dengan aku. Berkobar-kobar kami waktu itu. Akhirnya, alhamdulillah. Aku berjaya juga akhirnya untuk menggenggam ijazah dan menghadiahkannya kepada kedua ibu bapaku yang nyata gembira dengan kejayaanku.

"Macam tulah kisah saya dengan Hakimi. Minta maaflah kalau ceritanya tak menarik," kataku dengan sedikit senyuman di bibir. Aku lihat dia termenung. Jauh nampaknya menungannya.

"Awak…" Aku melayangkan tangan ke wajahnya. Dia tersedar, mengukir senyuman di bibir.

"Saya tak sangka awak dah lalui itu semua, Faiz. Kalaulah saya…" Ayatnya tergantung di situ.

"Kalaulah awak apa?" Pantas aku bertanya.

"Kalaulah saya ada bersama awak masa tu, mesti saya takkan benarkan perkara itu terjadi kat awak."

Aku terkesima. Terkedu mendengar kata-kata yang meluncur keluar dari bibirnya. Tba-tiba saja jantungku berdegup laju. Kata-kata itu terus meresap jauh ke dalam lubuk hati aku. Kenapa perlu dia lontarkan kata-kata itu?

"Sebenarnya Faiz, saya…"

"Ehem, ehem… the loving couple ni tak mahu masuk tidur ke? Dah pukul 12.00 tengah malam ni."

Kami serta-merta menoleh ke arah Farizal dan Hafiza yang berdiri tegak di ambang pintu. Mereka berdua tersenyum nakal ke arah kami. Agaknya dari tadi mereka menelinga saja perbualan kami. Memang tak patut budak berdua ni. The loving couple? Isy, budak-budak ni… pandai-pandai aje gelar kami macam tu.Tebal pula rasanya muka aku saat ini bila perkataan itu dikeluarkan. Aku pandang dia. Kami sama-sama ketawa.

"Okeylah. Good night," ucapku kepadanya dan berlalu mendapatkan Hafiza.

Aku dan Hafiza berkongsi bilik. Sementara dia berkongsi bilik dengan adik lelaki aku, Farizal. Yalah, takkan nak sebilik dengan aku pulak. Hehehe.

----------------------------

SINOPSIS

Pada mulanya, kehadiran Dr. Sharizal tak berapa nak diendahkan oleh Faiza, walaupun kelibat lelaki itu sering mencuri perhatiannya. Lama-kelamaan, bila... lelaki itu mula menunjukkan tanda dan sering memberikan isyarat cinta, Faiza tidak teragak-agak untuk menerima cintanya, walaupun perkenalan mereka tersangatlah singkat.

Perhubungan mereka pada mulanya tidak mendapat restu daripada ibu Dr. Sharizal memandangkan terdapat perbezaan taraf yang sangat ketara. Bagi ibu lelaki itu, Faiza tidak setaraf dengan anaknya. Di tempat kerja pula, Tina yang terkenal dengan sikap gedik dan mengada-ada sering memberi amaran kepada Faiza agar menjauhkan diri daripada Dr. Sharizal. Faiza jadi pelik dengan sikap terlebih suka yang ditunjukkan Tina.

Keadaan makin rumit dengan hadirnya Hakimi, kekasih lamanya yang datang kembali untuk menagih cintanya semula. Ingin membetulkan keadaan. Namun, tidak diendah Faiza. Sering kali dia melarikan diri setiap kali kelibat Hakimi menghampiri. Faiza jadi sangat tertekan dan celaru. Ditambah pula dengan kejutan demi kejutan yang diterima, yang membuatkan kehidupan bahagianya menjadi kacau-bilau.

No comments:

Post a Comment