photo 627201q5jaigt1eg.gif

Friday, February 18, 2011

Novel Pilihanku- Bab 4

CINTA DARI ISTANA - Adah Hamidah

PINTU bilikku diketuk perlahan. Mujur aku sedang melipat telekung dan sejadah yang baru selesai digunakan. Aku segera membuka daun pintu. Terpacak seorang wanita yang aku kira umurnya sama seperti inang-inang di istana. Aku tersenyum memandang wanita itu, senyuman yang ku...buat-buat.

"Piya, mari tolong mak cik sediakan makan malam." Tangan aku ditarik lembut oleh wanita itu. Aku sekadar mengikut arahannya.

Sekitar ruang dapur aku perhatikan. Cuba mengenal pasti barang-barang yang terdapat di situ. Semuanya aneh, tidak dapat aku cam. Rasa menyesal pula melarikan diri dari istana. Mana mungkin seorang puteri sepertiku mampu hidup seperti rakyat biasa. Membantu dayang mengemas bilik tidak pernah, inikan pula turun ke balai masakan bekerjasama. Jadi bagaimana aku dapat mengenal semua peralatan memasak di dapur ini?

"Piya tolong hidangkan makanan kat meja makan ya."

Aku mengangguk mendengar arahan yang diberikan.

"Angkat mangkuk nasi dulu, lepas ni bubuh air basuh tangan pula."

Dengan penuh berhati-hati, mangkuk yang berisi penuh nasi itu aku sambut bila dihulurkan oleh wanita itu. Aku melangkah laju ke meja makan dan meletakkan mangkuk itu di atas meja.

"Lain dah siap. Piya tolong bubuh air basuh tangan. Mak cik nak naik atas kejap, panggilkan Ra’if dengan Puteri," pesan wanita itu sebelum membawa keluar dulang yang berisi air berwarna merah berserta beberapa gelas.

Aku memandang kabinet yang pinggan mangkuk banyak tersusun di atasnya. Air basuh tangan? Aku pasti air itu yang akan digunakan untuk membasuh tangan, sama seperti di istana. Di istana, bekas tembaga berukiran emas digunakan sebagai mangkuk untuk mengisi air mencuci tangan. Melilau mataku mencari kalau-kalau bekas yang sama ada di situ, namun aku hampa. Lantas aku menggeledah mencari mangkuk yang bersesuaian.

Aku tersenyum puas. Mangkuk itu, walaupun berlainan daripada mangkuk yang biasa aku gunakan di istana, tapi aku rasa itulah mangkuk yang paling sesuai apabila melihatkan bentuknya. Apa yang lebih penting, mangkuk itu siap bertutup dan ini akan dapat mengelakkan habuk daripada masuk ke dalam air cuci tangan itu nanti. Jadi aku keluarkan sekadar perlu dan mengisi air daripada saluran kepala paip di singki.

Semua telah siap dihidang bila ahli keluarga Ra’if Arjuna turun untuk makan. Aku yang sudah pun duduk mula bangun bila melihat mereka semua melangkah menuruni anak tangga.

"Aik, siapa yang lipat tisu ni? Dah macam makan malam diraja pula dah. Siap berlilin-lilin bagai." Ra’if Arjuna tersenyum dalam katanya.

Aku juga begitu. Berasa bangga. Tidak sia-sia usaha aku mengeluarkan helaian tisu dari dalam kotak yang terdapat di atas meja lalu menggubahnya menjadi bentuk yang aku sendiri tidak pasti. Ada empat bentuk kesemuanya. Perihal lilin pula, mujur juga aku terlihat lilin di dalam laci kabinet dapur semasa menggeledah mencari mangkuk tadi. Maka dapatlah aku jadikan makan malam mereka sekeluarga lebih istimewa.

"Piya ke yang buat semua ni?" Ra’if Arjuna menyoal dengan senyuman yang lebarnya sampai ke telinga.

Aku mengangguk kepala.

"Awak ni pernah ada pengalaman kerja dalam istana ke?" Ra’if Arjuna masih dengan tawanya.

Aku pula tidak tertelan liur mendengar kata-katanya.

"Tengok tu, mak, mangkuk air basuh tangan pun seorang satu. Dah tu, letak dalam bekas isi kuih raya pula tu." Kali ini Ra’if Arjuna tergelak besar sambil mengangkat bekas bercorak bunga timbul itu.

Aku canggung. Tidak tahu apa yang lucu sangat. Salah ke aku menggunakan mangkuk itu? Saiznya yang agak panjang menyebabkan aku memilihnya sebagai tempat mengisi air mencuci tangan. Aku rasa bila tangan dicelupkan ke dalam air itu, pasti tidak akan tumpah. Kini wanita itu pun turut sama ketawa.

"Apalah kakak ni, itu pun tak tahu. Bekas ni guna masa hari raya ajelah." Anak kecil itu berkata.

Aduh, mengapa semuanya tidak menjadi! Aku mengeluh dalam hati.

"Sebenarnya ini merupakan satu kaedah terbaru bagi mengelakkan air daripada tertumpah. Mungkin keluarga Ra’if Arjuna boleh cuba mempraktikkan cara terbaru ini." Aku membuat alasan yang sememangnya tak masuk dek akal. Mana aku tahu bekas itu sebenarnya bekas mengisi kuih raya. Di istana bekas yang digunakan langsung tidak sama.

"Sudah, sudah! Mari kita makan dulu, nanti sejuk pula lauknya. Piya mari makan sekali." Wanita itu mengarahkan.

Seusai membaca doa, masih ada baki ketawa yang dapat aku dengar daripada Ra’if Arjuna. Aku jadi sakit hati. Tergamak Ra’if Arjuna mentertawakan beta! Tunggulah pembalasannya. Hatiku tidak henti berbicara. Sakit hati kini melebihi rasa rindu aku kepada istana.

Uhukh! Uhukh! Wanita tua itu segera menepuk-nepuk belakang tubuh Ra’if Arjuna bila mana Ra’if Arjuna tersedak ketika meneguk air. Anaknya, Puteri Darwisyah, aku lihat berhenti menyuap makanan. Dia mula berdiri di atas kerusi dan melakukan aksi yang sama dengan neneknya. Nampak sungguh cerdik.

"La, kenapa sampai boleh tersedak ni?" Cemas suara ibu Ra’if Arjuna.

"Itulah namanya ketulahan!" Ops! Aku menutup mulutku. Terlepas pula kata yang tidak sepatutnya. Cari nahas betullah! bisik aku perlahan.

"Apa awak cakap, Piya?" Ra’if Arjuna menggagahkan juga dirinya untuk berbicara biarpun suaranya masih tersekat-sekat.

Aku pula jadi kaget. Mulut ini entah kenapa terlalu lancang pula berkata-kata.

"Barang kali Ra’if Arjuna tercekik ketulangan agaknya." Serta-merta aku merubah kosa kata, cuba menyelamatkan diri.

"Itulah, banyak sangat ketawanya, kan dah tersedak!" Ibu Ra’if Arjuna masih terus menepuk belakang tubuh anaknya itu.

Aku segera mengangkat pingganku dan menuju ke dapur. Aku urut dadaku perlahan, tanda lega! Selepas ini aku harus lebih berhati-hati ketika berbicara. Belum pun sehari aku di sini, namun rasa sengsara sudah mula menggunung. Selepas ini entah apa pula yang berlaku. Sedang aku sendiri tidak mampu membantu menguruskan rumah ini, jadi bagaimana harus aku menjadi pengasuh yang baik demi memastikan aku terus kekal tinggal di sini?

Saat ini terbayang dayang-dayang di istana. Kalaulah mereka ada, pasti aku tidak menghadapi masalah seperti ini.

AKU termenung sendirian di dapur. Rasa seperti hendak menangis bila mengenangkan permintaan si kecil itu. Namun aku segera menadah air di dalam cerek kecil untuk dijerang seperti yang diarahkan. Masalahnya kini cuma satu. Bagaimana hendak aku menyiapkan secawan air Milo untuk anak Ra’if Arjuna?

"Manalah beta tahu macam mana nak buat air!" bebelku sendirian sementara menunggu air yang kutadah memenuhi cerek. Selepas menutup paip, aku menghampiri pula dapur gas. Lama aku berdiri di situ, memerhati dan meneliti dengan penuh sabar. Mencari punat-punat yang mungkin akan menyebabkan dapur itu menyala bila aku menekannya. Namun gagal, ternyata usahaku sia-sia.

Aku jadi malas. Hati mula bergelora, rasa marah. Kenapa aku yang harus buat kerja-kerja begitu, sedangkan aku seorang puteri? Geram rasanya!

"Apa masalah ni?" Ra’if Arjuna bertanya bila melihat aku duduk berteleku di lantai dapur.

"Entahlah, Ra’if Arjuna. Sudah banyak kali dicuba. Namun dapur ini seakan-akan tidak mahu memberikan kerjasama. Barangkali rosak agaknya." Aku mendapat akal. Seperti biasa penipuan aku lakukan. Sekurang-kurangnya dapat juga aku pelajari cara bagaimana memasang dapur itu apabila Ra’if Arjuna membuat cubaan nanti. Hatiku menari gembira.

"Gas habis agaknya." Ra’if Arjuna bersuara. Dia segera memulas punat yang ada pada bahagian atas dapur itu. "Menyala aje ni!" tambahnya lagi.

Aku pula sudah mampu tersenyum. Ideaku berhasil. Oh… begitu cara menggunakannya, barulah beta tahu! Aku tersenyum kelat. Cerek di tangan aku serahkan kepada Ra’if Arjuna. Ra’if Arjuna memandangku lama sebelum menyambut cerek itu kemudian meletaknya di atas api yang bernyala.

"Sementara kita tunggu air mendidih, saya nak test awak dulu pasal barang-barang elektrik kat dapur ni. Awak dah bersedia, kan?"

Jantungku hampir gugur bila mendengarnya. Bala datang lagi. Tidak mungkin aku terselamat kali ini.

"Kenapa nampak macam risau aje? Awak tak tahu apa-apa ke pasal barangan elektrik?" tanya Ra’if Arjuna curiga. Mungkin dia pandai membaca hatiku atau mungkin juga aku yang sebenarnya tidak tahu menyembunyikan perasaan sendiri sehingga mampu dihidunya.

"Masalah? Mana mungkin, Ra’if Arjuna. Usahlah diperkecil-kecilkan diri ini. Teruskanlah!"

Ra’if Arjuna ketawa kecil sambil menggeleng kepala bila itu aku sampaikan. Aku mengumpul kekuatan dalam diri. Mengharap apa saja yang keluar dari mulutku nanti dapat menggambarkan betapa aku arif tentang semuanya.

"Yang ini apa? Awak tahu macam mana nak guna?" Ra’if Arjuna meletakkan tangannya pada satu benda yang kelihatan seperti mangkuk besar.

Aku tersenyum. Seolah-olah mengejek soalan yang diberikan itu terlalu mudah untukku. Walhal mataku ligat membaca setiap patah perkataan yang tertulis di situ. Rasanya seperti peralatan memasak. Tapi untuk memasak apa?

"Tahu ke tidak ni?" Ra’if Arjuna bertanya lagi. Mungkin bosan menunggu aku berfikir.

"Ini pastinya, peralatan menanak nasi" Senyumku semakin lebar. Mujur ada tertulis perkataan rice cooker pada peralatan itu. Jadinya, aku berjaya menjawab soalan itu dengan jayanya.

"Tahu tak macam mana nak guna?" Ra’if Arjuna berterusan bertanya lagi.

"Kalau tidak salah, cara penggunaan semua peralatan menanak nasi sama sahaja. Adakah yang satu ini mempunyai kelebihan-kelebihan lain yang tidak diketahui?" Aku memulangkan kembali soalan yang tidak dapat aku jawab itu.

Masih terngiang-ngiang kata Abang Indera, kalau tidak mampu menjawab pertanyaan-pertanyaan yang tiba, jawablah kembali pertanyaan itu dengan persoalan yang hanya akan buat penyoalnya kebingungan. Itulah cara terbaik melepaskan diri dalam situasi yang memaksa kita untuk berlari. Ternyata cara itu berjaya, bila Ra’if Arjuna cuma menganggukkan kepalanya dan tersenyum.

Ra’if Arjuna kemudian berjalan mendapatkan satu lagi peralatan elektrik. "Yang ini pula?"

"Kalau yang ini, lagi mudah, inikan alat pengisar!" Aku tersenyum bangga. Kalau setakat benda ini, tidak payah nak duga betalah. Ingat di istana tidak ada televisyenkah? lagak hatiku sendiri.

Nasib baik satu ketika dulu aku ada menonton iklan di kaca televisyen berkenaan dengan pengisar yang sama. Jadi, aku terselamat lagi. Kehidupan di istana serba lengkap. Semuanya ada, apa yang tiada di situ? Cumanya, hanya aku yang tidak diberikan kesempatan untuk menonton televisyen. Takut isi-isi yang dipaparkan mempengaruhi aku, kononnya. Selain berita, dokumentari dan rancangan-rancangan ilmu, yang lainnya tidak dibenarkan.

Bunyi aneh pada dapur gas membuatkan aku sepantas kilat menoleh ke arah dapur itu. Terkejut aku apabila melihat air mula keluar dari muncung cerek. Api yang tadinya bernyala hampir padam bila air menyimbah. Bimbang dimarahi Ra’if Arjuna, aku segera menghampiri dapur itu dan menggunakan kedua-dua belah tanganku mengangkat cerek untuk dialihkan tempatnya.

"Piya, jangan!" teriak Ra’if Arjuna.

"Argh… panasnya!" jerit aku kuat. Cerek itu akhirnya aku lepaskan apabila merasa terlalu panas, sehingga sendiri tidak tertahan. Habis airnya tumpah ke lantai.

Ra’if Arjuna menjarakkan diri. Dia terselamat. Jadi mangsanya adalah aku seorang. Habis tangan dan kakiku terkena air panas. Aku sempat memandang Ra’if Arjuna sebelum duniaku gelap.

AKU membuka mata perlahan. Rasanya seperti sudah lama aku melelapkan mata. Ra’if Arjuna aku perhatikan sedang lena di atas sofa, namun emak dan anaknya tidak pula kelihatan. Aku memandang sekeliling. Bilik itu bukan bilikku. Ruangnya agak besar berbanding dengan bilik tempat aku berteduh di rumah Ra’if Arjuna. Kini mataku beralih pula pada kedua-dua belah tanganku yang dibalut kemas. Jadi aku yakin, pasti kini aku sedang dirawat di balai kesihatan. Otak mula mengingatkan kembali kejadian yang menimpa.

"Aduh!" Aku cuba untuk bangun. Namun kakiku terasa pedih.

Ra’if Arjuna terjaga daripada tidurnya. Mungkin suaraku tadi mengejutkan dirinya. Ra’if Arjuna bangun kemudian menarik kerusi untuk duduk di sampingku.

"Saya tak tahulah apa masalah awak ni, Piya. Awak tahu tak tindakan awak tadi bahaya? Takkan itu pun awak tak boleh nak fikir?" Muka Ra’if Arjuna merah menahan marah.

Aku hanya mampu memandang wajahnya. Tiada perkataan yang terluah. Manalah beta tahu. Beta cuma mahu mengelak supaya api tidak padam! Aku hanya mampu membalasnya dalam hati. Sememangnya itulah perkataan utama yang aku fikirkan. Tidak mahu api terpadam gara-gara limpahan air yang keluar dari muncung cerek. Kalau itu berlaku, pasti aku akan dianggap tidak tahu membuat kerja. Aku tidak mahu itu berlaku. Risau jika dihalau keluar. Nanti ke mana lagi boleh aku pergi membawa diri?

"Saya dah buat keputusan. Awak saya berhentikan. Lepas keluar hospital, awak boleh kemas barang awak dan cari kerja lain." Ra’if Arjuna lantas bangun bila selesai berbicara.

Aku tersentak dengan kata-katanya. Beta diberhentikan? Cis, berani sungguh Ra’if Arjuna! Jangan fikir beta akan melangkah keluar dari rumahnya. Dato’ Andika sudah bersusah payah membantu beta keluar dari istana dan beta tidak akan mudah mengalah. Keras hatiku berbisik. Aku tahu aku harus lakukan sesuatu. Aku tidak boleh membiarkan Ra’if Arjuna menghalauku keluar dari rumahnya.

"Abang Arjuna…" seru aku penuh kelembutan. Tiba-tiba saja lidahku menukar panggilan buat Ra’if Arjuna. Aku tahu itu cara terbaik untuk meraih simpati daripadanya.

Ra’if Arjuna yang baru sahaja ingin melangkah keluar, akhirnya menghentikan langkahnya. Namun langsung tidak dia menoleh ke arahku.

"Sebenarnya, Piya sebatang kara di sini." Aku memulakan lakonan. Cuba meraih simpati daripadanya.

"Piya benar-benar memerlukan pekerjaan. Jikalau Abang Arjuna tidak mahu memberikan apa-apa bayaran pun tidak mengapa, asalkan sudilah kiranya Abang Arjuna menumpangkan Piya di rumah. Piya akan berusaha keras membantu dan menjaga Puteri Darwisyah dengan sebaik-baiknya," pohonku penuh sayu.

Aku tahu, pasti Ra’if Arjuna akan bersimpati kepada aku. Ra’if Arjuna kembali menghampiriku. Ada senyum pada bibirnya, jadi aku tahu yang aku telah berjaya. Inikan Puteri Mahkota, bicaraku sendirian.

"Baiklah, saya akan pertimbangkan. Tapi dengan satu syarat." Penuh angkuh wajah Ra’if Arjuna ketika ini.

"Katakanlah, Abang Arjuna, pasti Piya akan bersetuju dengan syaratnya." Ada sedikit resah di jiwaku. Entah apa syaratnya. Tidak tahu sama ada aku mampu memenuhinya ataupun tidak.

"Bagi saya satu sebab yang logik, kenapa saya harus menggaji orang pelik dan tak tahu buat kerja macam awak ni?" soal Ra’if Arjuna.

Aku terkedu. Mana mungkin aku ada jawapan itu. Otak mula ligat memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang mampu menghalang aku daripada dihalau dari rumahnya. Tapi apa sebabnya? Apa kelebihan yang aku ada? Aduh! Dato’ Andika, tolong beta! jerit batinku.

"Awak tak perlu bagi jawapan sekarang, awak saya bagi masa berfikir. Sekurang-kurangnya sebelum awak keluar dari hospital."

Segala yang dikatakan Ra’if Arjuna cukup jelas untuk aku faham. Sekarang, semuanya terpulang pada jawapan yang akan aku berikan. Aku memejamkan mata. Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini, pohonku.

Puteri Darwisyah dan neneknya membuka pintu bilikku dari luar. Ada bungkusan yang dibawa oleh mereka. Aku tersenyum bila bungkusan yang mengandungi beberapa biji epal diserahkan kepadaku. Walaupun mereka baru sahaja mengenaliku, namun mereka tidak sedikit pun melayanku seperti orang asing.

"Piya macam mana?" Ibu Ra’if Arjuna bertanya. Tangannya menyentuh lembut pergelangan tanganku. Kerana itu, aku tiba-tiba jadi teringatkan ibunda, sebak rasa di dada. Sudah tentu ibunda risaukan diriku ketika ini. Namun aku berharap surat yang aku tinggalkan sedikit sebanyak buat ibunda faham mengapa aku bertindak sebegini rupa.

"Alhamdulillah, rasanya tidak ada apa. Cuma kecederaan ringan sahaja." Aku tersenyum. Ikhlas dari lubuk hatiku.

"Itulah, lain kali kena hati-hati," sambungnya lagi memberi khidmat nasihat.

Aku mengangguk kepala tanda mengerti.

"Kakak, ayah mana?" Puteri comel itu pula bersuara. Rasa tenang bila memandang wajah si kecil itu.

"Kakak pun tidak tahu, barangkali keluar untuk makan," balasku lembut.

"Nenek nak pergi cari ayah sekejap. Puteri duduk sini temankan kakak ya!" Ibu Ra’if Arjuna sempat berpesan sebelum meninggalkan aku dan Puteri Darwisyah berdua.

Selepas itu, kami hanya mendiamkan diri. Puteri Darwisyah memandangku, begitu juga dengan aku yang hanya memerhati Puteri Darwisyah. Dia sedikit pun tidak berganjak daripada duduknya, apatah lagi mengeluarkan suara.

"Puteri tahu tidak, Puteri amat cantik, bagai bulan purnama." Aku mula memancing Puteri Darwisyah yang kelihatan kebosanan.

"Cantik macam bulan? Kakak pernah pergi ke bulan ke?" Puteri Darwisyah mula menghampiriku, katil dipanjatnya dan dia mula duduk di sebelahku.

"Kalau kakak kata pernah, Puteri percaya atau tidak?" Aku cuba menduga.

"Percaya!" Cepat sahaja jawapan itu keluar dari mulut Puteri Darwisyah. Aku tergelak kecil. Begitu mudah dia mempercayai kata-kataku.

"Kakak, kat bulan ada apa? Boleh tak kakak bawa Puteri pergi ke bulan? Ayah tak pernah bawa Puteri pergi bulan!" Puteri Darwisyah benar-benar berharap.

Aku tersenyum lagi. Puteri… Puteri… Sedang beta sendiri tidak pernah naik ke sana, bagaimana pula hendak membawa kamu terbang ke bulan? kata hati kecilku.

"Boleh, tapi kalau mahu naik ke bulan, kita perlu menyiapkan sayapnya dahulu. Sesudah itu barulah boleh terbang ke bulan." Sengaja aku mereka alasan yang akan membuatkan Puteri Darwisyah berputus asa.

"Kalau macam tu, kakak tolonglah puteri siapkan sayap. Nanti bolehlah kakak terbang sama-sama dengan Puteri." Puteri Darwisyah begitu berharap, kasihan pula aku melihatnya.

"Tangan kakak kan cedera, bagaimana kakak mahu membantu Puteri?" Aku terus-terusan mencipta alasan.

"Alah, nanti kalau tangan kakak dah baik, barulah kakak tolong Puteri buatkan sayap tu."

Aku tersenyum mendengarnya. Mana mungkin itu berlaku. Bila tanganku sudah baik, entah-entah aku sudah pun kembali ke istana. Sehingga sekarang aku masih tidak dapat memikirkan alasan yang baik untuk terus kekal tinggal di rumah Ra’if Arjuna.

Alasan! Aku memeluk Puteri Darwisyah serta-merta. Rasanya aku sudah ada jawapan yang diperlukan oleh Ra’if Arjuna. Sebab yang pastinya akan membuatkan aku terus kekal di rumahnya. Sebagai pengasuh kepada anaknya.

"Betulkah Puteri mahu kakak tolong sediakan sayapnya?" Aku memulakan rancangan, cuba menjajah hati si kecil itu.

"Nak… nak!"

"Kakak memang mahu sangat membantu Puteri menyediakan sayap ke bulan, tapi rasanya mungkin kakak tidak dapat bantu Puteri." Rencana aku mulakan. Mahu ataupun tidak, aku perlu lakukannya.

"Kenapa pula, kakak?" Puteri Darwisyah mengerutkan dahi. Soalan itulah yang aku tunggu-tunggu.

"Kakak perlu pulang ke kampung, ayah Puteri sudah tidak mahu kakak tinggal bersama-sama dengan Puteri lagi. Kata ayah Puteri, kakak tidak pandai menjaga Puteri." Aku memasang umpan, semoga umpan itu berjaya.

"Alah ayah ni, Puteri nak kakak jaga Puteri!" Puteri Darwisyah meronta. Patung beruang di tangannya diramas kuat. Aku tersenyum, ternyata taktikku berjaya.

"Tidak mengapalah, Puteri, nanti mungkin Puteri akan dapat kakak baru. Tapi, tidak tahulah pula sama ada kakak baru Puteri itu tahu cara-cara untuk membuat sayap ke bulan." Satu per satu langkah aku atur kemas.

"Tak nak! Puteri nak kakak juga yang jaga Puteri! Kakak pandai buat sayap," sambung Puteri Darwisyah lagi.

Hahaha… Hatiku bernyanyi gembira. Kali ini pasti berjaya. Ra’if Arjuna, beta seorang puteri, masakan seorang rakyat jelata seperti kamu mampu menewaskan beta? Jangan bermimpi untuk menghalau beta keluar dari rumah itu. Denyut hatiku berbicara bangga.

No comments:

Post a Comment