photo 627201q5jaigt1eg.gif

Friday, February 18, 2011

Novel Pilihanku

BAB 14-CINTA DARI ISTANA - Adah Hamidah

RA’IF ARJUNA dan Faiz sudah sekian lama keluar menunaikan Solat Jumaat. Solat yang menjadi kewajipan kepada setiap insan yang memegang gelaran lelaki.
...
Hari ini masuk hari kedua Ra’if Arjuna bercuti, langsung tidak pulang ke Kuala Lumpur. Mungkin risau meninggalkan aku dan Faiz di sini, dugaku. Padahal dia sendiri yang menyatakan bahawa kerjanya di pejabat begitu banyak sekali.

Hatiku kian senang, tiada lagi bunyi-bunyi bicara yang ingin menyatukan aku dan Faiz. Pastinya Ra’if Arjuna sudah menjelaskan keadaan sebenar kepada semua pihak. Cepat juga dia bertindak. Pasti takut beta disambar orang! Ketawa besar hatiku mengatakan itu bersama malu yang mencuit rasa.

Ra’if Arjuna, Ra’if Arjuna... mengapa berat benar mulutnya untuk menyatakan cinta yang ada? Tapi tidak mengapa. Aku ingin menyaksikan sendiri sejauh mana dia mampu menahan rasa hati yang kian dicubit cintaku. Pasti sakit terasa.

Hampir jam 2.00 petang, barulah Ra’if Arjuna dan Faiz pulang ke rumah. Puteri Darwisyah terus saja berlari mendapatkan ayahnya.

Itu juga ingin aku lakukan... menyambut kepulangan Ra’if Arjuna dengan penuh kasih sayang. Namun apa hak aku untuk melakukannya? Jadi aku hanya duduk memerhati dua beranak itu berpelukan antara satu sama lain, sepertinya telah lama terpisah.

Faiz cuma tersenyum di muka pintu dan mencubit manja pipi gebu Puteri Darwisyah sebelum mengambil tempat duduk di sebelahku. Hatiku kurang sedap dengan tindakan Faiz itu. Nanti tidak pasal-pasal Ra’if Arjuna melemparkan tuduhan kepadaku. Tuduhan berlebih-lebihan melayan Faiz, padahal aku tidak pernah mengambil langkah untuk mendekati Faiz. Langsung tidak pernah.

Panahan mata Ra’if Arjuna sungguh tajam menikam, memerhati aku yang tidak berganjak dari tempat duduk. Bukan aku tidak mahu merubah tempat duduk. Kalau ikutkan hatiku, dari tadi lagi sudah aku lakukan itu. Tapi aku juga terikat. Serba salah. Tidak mahu Faiz beranggapan songsang bahawa aku sengaja melarikan diri daripadanya. Aku tiada pilihan lain selain terus saja duduk di kerusi itu.

Lagipun, ibu dan ibu saudara Ra’if Arjuna pun ada di situ. Takkan dengan tiba-tiba sahaja aku bangun menukar tempat duduk? Nanti apa pula fikir mereka.

"Piya, bawa Puteri bersiap, saya nak bawa dia keluar jalan-jalan!" arah Ra’if Arjuna dengan suara yang mendatar.

Aku senang dengan arahan yang disandarkan di bahuku. Setidak-tidaknya aku tahu bahawa Ra’if Arjuna tidak sanggup terus melihat aku duduk bersama-sama Faiz di situ. Aku dapat mengagaknya dengan yakin!

"Kamu nak ke mana, Ra’if?" soal ibunya, berminat untuk mengetahui rancangan anak lelaki tunggalnya itu.

"Nak bawa Puteri jalan-jalan kat Bandaraya Melaka." Spontan Ra’if Arjuna menjawab sambil membawa Puteri Darwisyah menghampiriku.

"Aik, pagi tadi mak ajak kamu ikut kami semua menziarah pak usu, kamu kata letih. Dah ni nak pergi jalan-jalan pula?" Ibu Ra’if Arjuna menggelengkan kepalanya.

Ra’if Arjuna hanya menjawab soalan itu dengan senyuman yang lebar, seperti ada udang di sebalik batu. Puteri Darwisyah diserahkan ke pangkuanku dan si kecil itu terus memelukku.

"Kamu nak pergi dengan Puteri aje ke? Larat ke kamu nak jaga nanti?" Giliran mak long menyuarakan pertanyaan.

"Itulah, ingatkan nak bawa Piya sama. Tak larat pula nak jaga Puteri tu sorang diri."

Hati sedikit tersentak. Getar di jiwa kian berkumandang. Menghabiskan masa bersama Ra’if Arjuna pastinya adalah saat yang amat menggembirakan. Jarang berpeluang meraih saat-saat seperti itu, jadi jika berpeluang aku mahu menggunakan kesempatan itu untuk terus memahat namaku di hati Ra’if Arjuna, sebaris dengan arwah isterinya. Aku tidak akan berputus asa membuat Ra’if Arjuna untuk menyuarakan rahsia hatinya, tekadku tanpa henti.

"Apa kata macam ni, kita naik satu kereta aje? Lepas kita hantar mak dengan mak ngah pergi rumah pak usu, kita geraklah ronda-ronda Melaka," Faiz memberikan cadangan.

"Maksudnya, Faiz nak ikut abang sekalilah?" Pantas Ra’if Arjuna bertanya.

"Yalah, Abang Ra’if. Faiz pun dah lama tak pusing-pusing Melaka. Tak jadi masalah, kan?"

Aku patah hati bila Faiz menyuarakan keinginannya untuk turut serta dalam rancangan yang Ra’if Arjuna aturkan. Punah harapan! Kenapa tiba-tiba saja dia ingin ikut sama, sedang katanya dia amat merindui pak sunya ketika cadangan untuk menziarah pak su dikemukakan oleh ibu Ra’if Arjuna. Sekelip mata sahaja dia menukar fikiran. Tidak berpendirian langsung, marahku dengan sikap Faiz.

"Abang memang tak ada masalah. Kalau Faiz nak ikut, jomlah!" Ra’if Arjuna memberikan persetujuan. Entah ikhlas entah tidak.

Aku terus saja membawa Puteri Darwisyah, meninggalkan ruang tamu. Keputusan muktamad telah diketahui. Ibu dan ibu saudara Ra’if Arjuna akan bertandang ke rumah adiknya manakala aku, Ra’if Arjuna, Faiz dan Puteri Darwisyah akan bersiar-siar di sekitar Melaka.

Namun jauh di sudut hati, aku memanjatkan kesyukuran. Sekurang-kurangnya aku berpeluang untuk meninjau negeri yang telah tersenarai dalam peta dunia sebagai bandar raya warisan dunia, setanding dengan bandar raya lain di seluruh dunia. Pasti ia menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila diberikan penghormatan dan anugerah itu oleh pihak UNESCO, salah sebuah badan yang diiktiraf dunia. Sedangkan negaraku, Sri Alamar, masih lagi dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan sehebat itu.

MELILAU anak mataku melihat panorama petang yang penuh dengan kesibukan. Setelah meletak kenderaan yang entah di mana tempatnya, kami semua turun dari kereta, berjalan menuju ke sebuah bangunan lama. Aku seakan pernah melihat bangunan yang lebih menyerupai kubu pertahanan itu. Lantas otakku ligat menyelak kembali lembaran sejarah dunia yang pernah diajarkan kepadaku.

Pasti ini Kota A’Famosa, sebuah kubu pertahanan yang dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Kubu yang dibina dengan menggunakan runtuhan masjid dan beberapa bangunan lain itu diarahkan pembinaannya oleh Alfonso De Albuquerque. Ya, aku masih ingat gambar kubu yang terdapat di dalam buku tebal milikku itu ketika mempelajari tentang sejarah negara-negara Asia.

"Cuba Piya teka, kita kat mana sekarang ni?" Faiz bertanya sebaik sahaja aku menjejakkan kaki di kubu pertahanan yang penuh dengan nilainya yang tersendiri.

Aku sekadar mengangkat bahu. Berpura-pura tidak mengetahuinya. Padahal, kalau mahu, boleh saja aku menceritakan tentang sejarah Melaka yang dulunya cukup terkenal dengan sumber alam sehingga menjadi rebutan beberapa buah negara besar seperti Portugis, Belanda dan British.

"Ni Kota A’Famosa, kubu pertahanan Portugis. Tapi kalau Piya nak tahu lebih lanjut, Piya kenalah tanya pada Abang Ra’if sebab abang tak berapa mahir sangat hal-hal sejarah ni."

Aku tersenyum saja mendengar celoteh Faiz. Ra’if Arjuna di belakang seakan tidak mahu turut serta, berkongsi maklumat. Dia langsung tidak membenarkan aku memegang Puteri Darwisyah sedangkan tadi dialah yang beria-ia ingin membawaku bersama bagi membantunya menjaga Puteri Darwisyah.

Kami berempat menaiki anak-anak tangga sampai ke atas bukit untuk melihat pemandangan indah dari situ. Udara yang segar di atas bukit itu aman, menenteramkan jiwa. Aku memerhati beberapa batu-batu yang diukirkan perkataan-perkataan yang tidak langsung menarik minatku untuk membacanya. Aku tertanya-tanya apa rasionalnya tindakan beberapa orang pelawat yang membaling kepingan syiling ke dalam sebuah lubang yang telah dibesikan jarang.

"Orang cakap, kalau kita campakkan duit dalam lubang tu sambil berhajat, hajat kita akan jadi kenyataan."

Seperti mengetahui apa yang bermain di fikiranku, Faiz terus saja menerangkan. Mungkin kerana aku merenung lama perbuatan pelawat-pelawat itu.

Syirik! Hanya itu perkataan yang sesuai buat pelawat-pelawat yang menjunjung ajaran Islam tetapi turut sama melemparkan hajat. Aku mengucap panjang dalam hati. Moga dijauhkan daripada sesuatu yang hanya membuatkan aku tidak dipandang oleh yang Maha Esa. Bagaimana mereka boleh mempercayai perkara tahyul begitu sedangkan hanya Allah yang mampu menunaikan kehendak setiap hati bernama manusia?

Setelah berpuas hati, barulah aku kembali turun, mengikut laluan anak tangga. Bila aku mula turun, Faiz dan Ra’if Arjuna juga melakukan perkara yang sama. Entah di mana silapnya, kakiku seperti tidak berpijak pada anak tangga ketika menoleh ke arah Ra’if Arjuna di belakangku, membuatkan aku hampir saja jatuh. Mujur Faiz sempat menahanku daripada jatuh. Kalau tidak, pasti aku sudah berguling-guling jatuh di tangga. Mataku dan Faiz bertaut. Lidahku kelu.

"Piya okey?" Persoalan Faiz akhirnya mematikan pandangan kami berdua. Ra’if Arjuna turut terhenti daripada melangkah.

Aku cuma mengangguk perlahan. Malu sungguh terasa. Ramai pengunjung yang memerhati. Aku kembali berdiri, namun rasanya kaki kiriku tidak mampu. Rasa sakit pada buku lali. Pasti terseliuh. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan saat itu. Masih banyak lagi anak tangga yang harus aku lepasi. Malu pula meminta bantuan daripada Faiz. Tapi bagaimana lagi? Takkan aku mahu meminta simpati Ra’if Arjuna pula?

"Abang Arjuna dan Abang Faiz, turunlah dahulu. Piya mahu berehat sebentar di sini. Menghilangkan rasa sakit." Aku berterus terang. Tidak mahu mereka terus-menerus menungguku.

"Dah terseliuh ni? Jomlah abang pimpinkan Piya turun."

"Tidak mengapalah, Abang Faiz, sekejap lagi pasti baik." Aku menolak bantuan yang ingin dihulurkan oleh Faiz. Bukan apa, aku lakukan itu semata-mata kerana Ra’if Arjuna. Tidak mahu Ra’if Arjuna bertambah sakit hati.

"Dah, jom! Jangan nak mengada-ada. Sampai bila nak tunggu kat sini? Faiz, tolong abang pegangkan Puteri. Bawa Puteri turun dulu. Biar abang bawa Piya turun perlahan-lahan."

Arahan daripada Ra’if Arjuna tidak dibantah oleh Faiz, namun ada riak keberatan untuk menunaikan permintaan itu. Aku mengikut saja kehendak Ra’if Arjuna, tidak mahu dia makin marah. Perlahan-lahan aku dipimpin Ra’if Arjuna untuk turun menyelusuri anak tangga. Perjalanan itu terasa amat membahagiakan sekali.

"Macam mana awak jalan? Mata letak kat mana?" Ra’if Arjuna membebel perlahan, namun dekat di telingaku.

Aku hanya mendiamkan diri, sudah terbiasa dengan itu. Seperti selalu, aku hanya menganggap bebelan itu sebagai ayat-ayat cinta daripada Ra’if Arjuna untuk diriku. Macamlah aku tidak dapat membaca hatinya. Pasti dia lagi risau bila Faiz menawarkan pertolongan kepadaku. Aku melangkah perlahan, biar lebih banyak masa bersama Ra’if Arjuna.

"Boleh tak awak tolong hati-hati sikit?" sambung Ra’if Arjuna lagi, menambahkan rasa cinta di hatiku ini.

Aku tetap diam. Tidak mahu bersuara. Saat itu aku hanya mahu mendengar suaranya yang bisa membuatkan aku terapung di langit cintanya.

Kami duduk berehat seketika sambil menikmati cendol, betul-betul di hadapan bangunan merah, di seberang jalan. Gerai-gerai kecil yang ada di sepanjang bangunan Stadthuys itu menjual cenderahati yang pelbagai. Aku hanya memerhati dari jauh, tidak larat untuk berjalan ke situ. Kakiku masih sakit, tidak berupaya rasanya untuk berjalan jauh. Cendol di dalam mangkuk yang tidak sebesar mana itu aku hirup perlahan. Sedap terasa membasahi anak tekak yang sememangnya kehausan.

"Nak terus balik ke ni?" Faiz bersuara.

"Ingatkan nak bawa Puteri tengok istana Melaka. Tapi dah Piya pun tak larat nak jalan, kita balik ajelah." Ra’if Arjuna menolak mangkuk cendol yang telah kosong.

"Istana Melaka?" Aku bertanya. Rasa rindu pada istana di Sri Alamar mula mencengkam dada sehingga ingin juga rasanya aku melepaskan rindu yang kian bergaris panjang itu dengan menyaksikan keindahan istana Melaka yang dimaksudkan oleh Ra’if Arjuna.

Cuba aku gerakan sedikit kakiku, masih sakit seperti tadi, sedikit pun tidak ada yang kurang. Aku memandang Faiz kemudian mengalihkan anak mataku pada Ra’if Arjuna yang masih lagi menyuap cendol pada mulut anaknya.

"Jauh sangatkah istana Melaka itu? Rasanya kaki Piya sudah tidak apa-apa." Cuba aku nafikan rasa kesakitan yang masih ada.

"Tak jauh mana pun, Piya, jalan depan sikit aje." Faiz membalas pertanyaanku.

"Tak payahlah, lain kali aje kita pergi!" Ra’if Arjuna tekad. Sedangkan aku tidak mahu kehilangan peluang berharga itu.

"Alah, ayah... Puteri nak pergi istana." Puteri Darwisyah merengek manja. Bijak sungguh fikirannya sehingga apa yang terlintas di mindaku dapat dirasainya.

Aku berbangga. Mungkin Puteri Darwisyah sebenarnya sudah sejiwa denganku. Melihatkan senyuman Ra’if Arjuna yang tiba-tiba menguntum mekar, hatiku jadi senang sekali. Pasti permintaan anaknya itu akan ditunaikan.

Aku menahan sakit kaki, berjalan menuju ke istana Melaka. Merah padam mukaku menahan kesakitan. Mujur Ra’if Arjuna dan Faiz tidak perasan. Semata-mata untuk melihat istana, aku kuatkan juga langkah kaki. Perjalanan terasa jauh. Mungkin kerana kesakitan yang aku alami.

Setelah membuat bayaran di kaunter, kami diberikan tiket untuk masuk ke dalam kawasan istana. Kiri dan kananku dipenuhi dengan tumbuhan yang menghijau sepanjang perjalanan menghampiri pintu masuk istana. Sejuk mata memandangnya. Istana yang diperbuat daripada kayu itu aku amati dengan senyuman yang tidak lepas-lepas. Besar juga istana itu, tetapi masih belum dapat menandingi keluasan istana di Sri Alamar. Kalau tidak salah perkiraan, luasnya kawasan istana di Sri Alamar adalah hampir berpuluh ganda besarnya daripada istana Melaka itu.

"Mengumumkan ketibaan Puteri Diraja Sri Alamar, Tuan Puteri Piya!" Faiz ketawa di hujung katanya.

Hampir luruh jantungku mendengar pengumuman yang dibuat Faiz yang berlagak seperti sedang memegang watikah di atas tangga. Perutku senak, dada terketar-ketar menarik nafas yang tersekat-sekat. Sakit kaki tidak lagi aku rasa. Yang ada cuma rasa gementar atas apa yang diperkatakan Faiz. Tidak terlangkah anak tangga yang sudah pun berada di depanku.

Aku berpura-pura tersenyum. Menjadikan kata-kata Faiz itu umpama satu jenaka yang tidak masuk akal. Walhal, kalaulah bumi bisa berbicara, pastinya mereka terkejut mendengar hakikat yang sebenar-benarnya. Seraya itu juga rindu pada istana menjengah, mengintai jendela hati. Terasa seperti aku sudah kembali ke pangkuan keluarga tercinta yang selama ini jauh di mata.

Padahal, aku masih jauh daripada insan-insan yang aku sayang dan dari bumi pertiwi yang telah menyambut kelahiranku dengan bangganya. Dato’ Andika langsung tidak aku hubungi dan aku yakin dia amat risau tentang kedudukanku pada saat ini. Aku juga tiada daya. Biarlah. Untuk sedikit masa lagi aku akan menghubunginya untuk mengutuskan perkhabaran dan jika keadaan di istana sudah kembali pulih seperti apa yang aku harapkan, aku dengan rela hati akan membenarkan Dato’ Andika menjemputku untuk kembali ke duniaku.

Tapi, bagaimana pula dengan Ra’if Arjuna? Pasti hidupku kosong tanpa dirinya. Andai itu berlaku, adakah Ra’if Arjuna juga akan turut merasai kehilanganku? Atau dia akan berasa lega kerana tiada lagi orang yang akan mengganggu-gugat cintanya terhadap arwah isterinya itu? Resah hati mencari jawapan.

Replika patung yang memegang tombak dan bermisai tebal yang berada betul-betul di hadapan pintu masuk istana berjaya mencuri pandanganku. Replika yang berpakaian seperti pahlawan itu aku tenung lama sambil melangkah masuk perlahan-lahan dengan bantuan Faiz. Ra’if Arjuna memegang anaknya, menaiki tangga.

"Jemput masuk, tuan puteri, jangan malu-malu. Kamar beradu sudah patik sediakan... siap dengan dayang-dayangnya sekali." Faiz tidak sudah-sudah berbicara sesuatu yang pedihnya menusuk hingga ke tulang.

Tidak tahan terus disakat begitu, aku menunjukkan wajah kelat kepada Faiz. Berharap dia mengerti bahawa aku tidak menyukai jenaka yang hanya buat aku terseksa dan sengsara kerana semua itu hanya mengingatkan aku kepada siapa aku yang sebenarnya. Sedangkan aku sudah mula jatuh cinta pada kehidupan sebagai seorang rakyat biasa.

"Okay, sorry!" Faiz menutup mulutnya dengan tangan dan aku mula rasa lega.

Hanya terdapat replika di dalam istana yang besar itu. Aku fikirkan itu adalah istana sebenar yang menjadi tempat tinggal keluarga diraja. Rupa-rupanya, istana itu juga merupakan replika yang dibina untuk tujuan pendidikan dan pelancongan. Aku tertawa sendiri memikirkan itu. Patutlah dengan mudah-mudah saja orang awam dibenarkan masuk melawat istana itu.

Pelbagai busana yang dipamerkan menarik hatiku. Semuanya berasal daripada negeri-negeri yang berbeza. Sungguh cantik pakaian tradisi masyarakat Melayu. Tertarik juga bila melihat semuanya sehinggakan aku langsung tidak sedar bahawa pada ketika itu aku tidak lagi bersama-sama Ra’if Arjuna dan Faiz. Mereka menghilang entah ke mana. Tidak aku pedulikan. Aku terus saja menjelajah di setiap sudut di dalam istana replika itu. Dari satu kawasan, aku berjalan perlahan ke kawasan lain.

Bila penat mula terasa, aku duduk menunggu di atas kerusi kayu panjang yang disediakan di sepanjang laluan dalam istana yang unik itu.

Kini barulah aku faham dengan lebih jelas tentang sejarah dan budaya masyarakat Melayu Melaka. Sejarah peradaban yang cukup hebat dan patut dibanggakan. Peristiwa Parameswara yang duduk di bawah pokok Melaka melihat sendiri pelanduk yang menendang anjing buruannya ligat berputar-putar di fikiran, silih berganti dengan sejarah tentang pahlawan terbilang Melayu iaitu Hang Tuah lima bersaudara. Kisah yang cukup menyentuh hati dan perasaan.

Hati membuat kesimpulan bahawa budaya masyarakat Melayu Melaka saling tidak tumpah seperti budaya hidup rakyat Sri Alamar kerana aku sedikit pun tidak merasa asing bila melihat setiap apa yang dipamerkan di istana itu. Malah rasanya aku lebih dekat dengannya.

"Kakak!"

Jeritan Puteri Darwisyah mematikan lamunanku. Puteri Darwisyah berlari laju menghampiriku manakala Ra’if Arjuna hanya tersenyum melihat gelagat anaknya sambil mengekori langkah laju anaknya. Faiz pula masih belum dapat dikesan kedudukannya. Puteri Darwisyah meminta agar dirinya didudukkan di atas pahaku, jadi aku mengikut saja keinginannya. Puteri Darwisyah aku angkat dan letakkan di atas pahaku.

"Kakak, tadi kan Puteri tengok banyak orang yang tak bergerak. Puteri pukul dia orang pun dia orang tak gerak. Terror!" Bersungguh-sungguh Puteri Darwisyah bercerita.

"Benar?" tanyaku sengaja melayan kerenahnya.

Ra’if Arjuna yang mula duduk di sebelahku turut tersenyum dengan cerita yang disampaikan oleh Puteri Darwisyah.

"Betul, kakak, kalau kakak tak percaya, kakak tanya ayah. Kan, ayah?"

Satu ciuman hinggap di kepala anak kecil itu.

"Kaki tuan puteri dah okey ke?" seloroh Ra’if Arjuna tanpa memandangku.

Setiap kali perkataan ‘tuan puteri’ itu keluar dari mulut insan-insan di sekelilingku, hatiku bergembur resah. Semua penipuan yang sedaya upaya cuba aku lupakan menjelma kembali. Alangkah bahagianya jika aku tidak dilahirkan daripada keluarga diraja, tidak perlulah aku melakukan pembohongan-pembohongan itu.

Argh! Mengapa pula aku mempertikaikan takdir yang telah ditulis untukku? Di luar sana, ramai memasang angan-angan agar berpeluang untuk hidup sepertiku. Hidup sebagai seorang puteri raja yang berpeluang memiliki apa sahaja. Aku sepatutnya bersyukur dengan apa saja yang ditetapkan oleh-Nya buatku. Sekurang-kurangnya yang Maha Esa masih memberi peluang untuk aku merasai nikmat menjadi seorang rakyat biasa walapun untuk seketika.

Mohon ampun, ya Allah. Tidak akan ada lagi persoalan yang mempersoalkan jalan takdir yang telah Kau cipta untukku! Dengan penuh keinsafan aku memohon keampunan-Nya.

"Nah, ambil ni!"

Pelik sungguh aku dengan Ra’if Arjuna. Setiap kali kami duduk bersama, ada saja barang yang ingin dia serahkan kepadaku. Aku memandang lama plastik di tangannya, teragak-agak untuk menerima pemberiannya itu.

"Ambil ajelah. Jangan risau, saya takkan potong gaji awak! Murah aje pun." Ra’if Arjuna cuba menepis senyum yang terukir di bibirnya.

Tiada langsung alasan untuk menolak pemberian Ra’if Arjuna itu. Tanganku mengambil plastik merah yang tertulis banyak perkataan terima kasih pada permukaannya. Aku membuka lipatan plastik itu. Perlahan-lahan aku keluarkan isi di dalamnya. Terbeliak mataku melihat apa yang diberikan oleh Ra’if Arjuna itu. Bila masanya dia membelinya itu untuk aku? Hatiku senang melihatnya.

"Apa ini?" Pura-pura aku bertanya sedangkan sudah aku tahu apa itu sebenarnya. Malas mahu menunjukkan kebijakanku di mata Ra’if Arjuna.

"Kad simlah! Nanti bila sampai KL, saya nak awak pulangkan balik kad sim Ad. Saya tak nak awak susahkan dia. Lepas ni kalau awak perlukan apa-apa, bagi tahu dan minta pada saya aje!"

Aku merenung tepat wajah Ra’if Arjuna bersama persoalan-persoalan yang merempuh kuat dada. Benarkah aku boleh meminta apa saja daripadanya? Bagaimana kalau aku ingin meminta hatinya? Mahukah dia menyerahkan hatinya kepadaku? Kalau aku meminta dia mengumumkan rasa cintanya kepadaku pula, bagaimana?

"Tak payahlah pandang saya macam tu. Saya takkan potong gaji awak lagi."

Ra’if Arjuna tersilap sangka. Andaian itu langsung tidak sama dengan apa yang sedang aku fikirkan sebenarnya.

"Satu lagi, jangan bagi nombor telefon awak tu kat orang lain sesuka hati. Kalau awak nak bagi nombor tu kat sesiapa... bagi tahu saya dulu."

Terlepas juga gelakku, tidak dapat aku kawal lagi. Kata-kata Ra’if Arjuna itu menggaru hatiku. Cukup jelas maksud di sebalik arahannya itu. Telah nyata, hati Ra’if Arjuna sudah aku menangi, cuma pengumuman rasmi saja yang belum dibuat bagi mengesahkan kejayaanku itu.

"Yang awak gelak ni pasal apa?" soal Ra’if Arjuna kehairanan melihat ketawaku yang tidak mahu hilang.

"Abang Arjuna, kalau Piya ingin bertanyakan sesuatu, boleh?" Aku sengaja menduga, membina relung getar di hati Ra’if Arjuna. Puteri Darwisyah aku turunkan dari pangkuan dan si kecil itu terus berlari-lari di hadapan kami, bermain sendiri.

"Nak tanya pasal apa?" soal Ra’if Arjuna yang kelihatan tenang, sedikit pun tidak tercuit.

"Mengenai hati." Aku melancarkan serangan. Membuat bedilan cinta ke semua sudut hatinya. Terkutil juga tingkahnya dengan soalanku itu.

Ternyata serangan pertamaku berjaya. Duduk Ra’if Arjuna tidak lagi setenang tadi. Kini setiap apa yang dilakukannya kelihatan serba salah. Soalanku masih belum ada tanda-tanda akan dijawab, terbiar begitu saja. Tapi Ra’if Arjuna tidak mempunyai cara untuk mengelak daripada menjawab pertanyaanku itu. Mahu ataupun tidak, Ra’if Arjuna terpaksa juga menjawabnya dan aku terus-terusan memandang Ra’if Arjuna, cuba menyerang dari sudut yang lain pula.

Hatiku ketawa girang melihat reaksi Ra’if Arjuna ketika itu. Seperti cacing kepanasan. Biarpun riak tenang cuba dipamerkan pada wajah, namun aku langsung tidak dapat melihatnya. Dalam hatiku sudah mula ketawa, tidak henti-henti. Sudah beta katakan, jangan bermain dengan api. Ini Puteri Mahkota Nur Shaafiah, Puteri Mahkota Sri Alamar, hatiku mendabik dada.

"La, kat sini rupanya!"

Faiz muncul tiba-tiba. Mengganggu rancangan yang baru saja aku ingin bermula. Ra’if Arjuna pula tersenyum, seperti menerima bantuan ketenteraan dari negara jiran. Marah sungguh hatiku dengan Faiz. Mengapa saat ini pula dia muncul?

"Berpusing-pusing Faiz cari Piya dengan Abang Ra’if... Buat pengkalan kat sini rupanya."

Aku tidak memandang Faiz. Hatiku masih marah. Kedatangannya tidak kena pada masa. Jadi aku hanya tunduk memerhati lantai kayu yang berkilat-kilat itu.

"Jom baliklah. Dah petang dah, nak masuk maghrib ni!" Ra’if Arjuna terus bangun mendapatkan Puteri Darwisyah yang masih bermain tidak jauh dari situ.

Aku hanya mampu memandang Ra’if Arjuna. Terkilan juga tidak dapat mendengar jawapan dari mulut Ra’if Arjuna. Tapi tidak mengapa. Gagal sekali bukanlah bermakna aku akan tewas buat selama-lamanya. Aku masih mempunyai banyak masa untuk mengatur strategi dan membuat serangan mula. Biar aku jajah penuh hati Ra’if Arjuna, menjadikan aku ratu di hatinya. Namun persoalannya kini, mampukah aku melakukannya dengan masa yang entah banyak mana bakinya?

No comments:

Post a Comment